logo

Apa itu OS ? PDF E-mail
Written by bezicto   
Wednesday, 27 July 2011 08:06

Saya berkerja di dalam lingkungan mereka-mereka di dalam bidang sains yang err.. bukan sangat sainsnya. Jadinya, apabila menerangkan sesuatu terma IT itu, saya perlu sentiasa berada di atas garisan. Untuk tidak terjerumus terlalu dalam atau terlalu spesifik.

Sekiranya saya terlalu mendalam sangat, sah-sah sekali mereka akan terus menukar topik perbualan kepada yang lain hanya kerana tidak mahu pening. (Walaupun saya berpendapat mereka harus ada pengetahuan itu sekiranya bukan semua pun)

:)

Ok, hari ini saya akan menulis sedikit mengenai apa itu sistem pengoperasian atau Operating System atau OS ringkasnya.

 

Apa itu OS ?

Selain anda boleh Google sendiri jawapannya atau mendapati jawapannya daripada Wikipedia, saya terangkan di dalam bahasa mudah :

Sistem operasi merujuk kepada perisian untuk mengurus,memberi,menerima,melaksana,menyimpan arahan (iaitu input atau data atau program) kepada sesuatu peralatan/komponen/perkakasan dan seterusnya memberikan hasil (output/servis) yang dikehendaki. Lantas, sistem operasi atau OS.

Skop penjelasan OS ini sebenarnya amat luas (termasuk skala pengguna; pengguna biasa atau server atau penyelidikan), buat masa ini ingatlah ianya sebagai err.. seorang pengurus pasukan bola sepak yang bertanggungjawab menguruskan sumber-sumber pasukannya (komputer) dari semua aspek; hanya untuk memuaskan hati pengurusan(input), peminat (pengguna) dan memperolehi gol (output).

Semuanya ada OS dan bukannya hanya komputer. Dalam konteks penerangan asas ini, saya akan menumpukan kepada dua realm di mana OS paling kelihatan nyata. Iaitu; komputer dan telefon bimbit.

 

Komputer

OS yang paling dominan kini di komputer adalah Windows daripada syarikat Microsoft. Versi terkini adalah Windows 7. Anda mungkin sekali salah seorang pengguna Windows. Ye tak ?

Windows 7

Seterusnya Apple dengan Mac OS X. Seperkara mengenai OS X ini adalah anda hanya boleh gunakan bersama Mac seperti iMac dan MacBook. Anda tidak boleh beli DVD Mac OS X ini di kedai dan pasangkan di komputer anda sekiranya komputer anda bukan Mac. Ianya berlainan.

OS X Lion

Linux. Kita kedengaran ini saban tahun. Terutamanya kerajaan yang kini menggalakkan penggunaan perisian open source. Dan ya, Linux adalah Open Source. Linux mempunyai banyak 'perisa'. Perisa ini merujuk kepada syarikat-syarikat, konsortium atau yayasan yang membangunkan versi Linux dengan acuan mereka sendiri. Contohnya Ubuntu, Mandriva, RedHat, Fedora dan openSUSE. Disebabkan nature Linux ini adalah open source, maka sudah tentunya ianya percuma bukan ? Bukan keseluruhannya pun. Benar anda boleh pindah terima secara percuma, tetapi untuk versi Enterprise kebanyakan versi Linux ini ada akan bayar juga. Sekiranya tidak kepada OS itu sendiri, ianya cas untuk sokongan selepas jualan. Linux (untuk apa jua 'perisa' ini) boleh dipasangkan di mana-mana komputer pun. Dalam ayat yang mudah untuk anda, sekiranya komputer anda menggunakan Windows, ianya juga boleh dipasangkan dengan Linux. Malahan anda boleh pilih untuk menggunakan kedua-duanya sekali di dalam satu komputer (sekiranya anda berkawan dengan orang yang tahu melakukannya).

Ubuntu

openSUSE

 

Telefon Bimbit

Telefon bimbit juga mempunyai OS. Bergantung kepada bijaknya CEO masing-masing, setiap satu syarikat pengeluar telefon bimbit biasanya boleh mempunyai beberapa telefon dengan OS tersendiri.

Nokia mempunyai dua OS yang bakal menjadi sejarah (yup, menjadi sejarah = tinggal kenangan = bakal menjadi antik) iaitu Symbian dan MeeGo. Dulunya Symbian ini sangat dominan di dunia telefon bimbit. Sehinggalah zaman monopoli Nokia berakhir (terutamanya sejak iPhone dan lain-lain lagi syarikat Smart Phone berlumba-lumba menghasilkan produk baharu.) Walaubagaimanapun, ditakdirkan Nokia telah berkerjasama dengan Microsoft. Maka nantikan produk terbaharu mereka.

Symbian

Windows Phone 7, adalah versi terkini OS daripada Microsoft untuk telefon bimbit. Ianya dibina atas fikiran 'social networking'. Antara pengeluar yang telah mengeluarkan telefon untuk Windows Phone 7 ini adalah HTC dan Samsung.

Windows Phone 7 untuk telefon HTC.

Android, adalah daripada Google. Ianya Open Source, dan ianya berasaskan Linux. Maka ianya adalah Linux untuk telefon bimbit. Banyak syarikat kini menggunakan Android; HTC, Samsung, Sony Ericsson misalnya.

Android 2.3

iOS, adalah OS untuk telefon keluaran Apple dan ianya merupakan (kini) OS yang paling menjana keuntungan di dunia kerana banyaknya aplikasi/perisian dibangunkan untuknya.

iOS 4.0

WebOS, dulunya untuk telefon keluaran Palm sebelum syarikat itu sendiri ditelan oleh HP. Hanya untuk telefon HP.

WebOS versi berapa entah

BlackBerry OS, keluaran, err.. BlackBerry lah. Versi terkini adalah BlackBerry 7 OS. Merupakan OS yang paling boring di dunia (atas pendapat saya.. haha)

BlackBerry OS 7

Apa yang terbaik untuk komputer dan telefon bimbit ? Untuk kedua-duanya terpulang kepada dompet anda dan penilaian sendiri. Saya sendiri gemarkan Windows 7 dan Mac OS X serta iOS.

Untuk telefon bimbit khususnya, saya sarankan untuk melihat dan menggunakan sendiri sebelum membuat keputusan membeli telefon bimbit baharu. Nasihat saya, dapatkan Android sekiranya anda benar-benar anti Apple (he he he). Tentunya saya akan sentiasa rekomenkan iOS (iPhone), tetapi Android adalah pilihan kedua saya. Kenapa ? Berbalik pada soal aplikasi dan perisian sebenarnya. iOS dan Android mempunyai sokongan perisian yang luas dan terbaik. Sebab itu, saya sentiasa menasihatkan untuk dapatkan fungsi telefon dulu sebelum reka luarannya.

Satu perkara yang paling penting di dalam citarasa OS ini adalah, program adalah tidak serasi antara satu OS ke OS yang lain. Misalnya, sekiranya anda menggunakan Adobe Photoshop di dalam Windows, tiba-tiba anda terasa hendak membeli sebuah Mac, anda tidak boleh melaksanakan pemasangan Adobe Photoshop tersebut di dalam Mac. Anda perlu dapatkan versi perisian yang dibina khusus untuk Mac.

Biasanya syarikat-syarikat perisian yang bereputasi seperti Adobe akan menghasilkan kepelbagaian versi untuk OS yang berlainan. (Adobe menghasilkan Photoshop untuk Windows dan Mac OS X)

Ada juga syarikat yang hanya menghasilkan satu versi sahaja untuk OS tertentu. Oleh itu, sekiranya anda berhajat untuk bermigrasi dari satu OS ke satu OS yang lain, pastikan bahawa perisian-perisian yang biasa anda gunakan mempunyai versi atau edisi yang bersesuaian dengan OS baharu pilihan anda.


 

Joomla! | XHTML | CSS.
Semua hakcipta terpelihara Khairul Asyrani 2010-sehingga kini.